Sekapur Sireh
TN HJ SALIM BIN SALLEH
GURU BESAR SEKOLAH KEBANGSAAN RANTAU PANJANG

Assalamualaikum wr. wb dalan salam sejahtera.
Memula bicara marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t yang telah melimpahkan rahmat, taufik, dan hidayah kepada kita semua melangkah ke tahun baru 2013 serta mengorak langkah demi menjana kecemerlangan yang dicita-citakan.
Saya mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru dan kakitangan SK.Rantau Panjang yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan masa ke arah kecemerlangan sekolah ini dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, sempena bermulanya sesi persekolahan tahun 2013 ini, saya menyeru kepada diri saya dan kakitangan agar terus berusaha dengan lebih gigih dan tabah agar “KECEMERLANGAN 100%” yang disasarkan akan menjadi kenyataan.
Dalam usaha menuju “Kecemerlangan 100%” ini, janganlah kita menoleh ke belakang. Segenap tumpuan terhadap “Core-Business” kita adalah untuk memantapkan serta menyerlahkan pencapaian prestasi akademik dan keterampilan sekolah. Sebagai sekolah yang pernah dinobatkan sebagai “SEKOLAH NEW DEALS 2010 dan 2011” dan “SEKOLAH LONJAKAN SAUJANA TERBAIK DAERAH KMY” bagi pada tahun 2010, saya percaya ia menjadi satu inspirasi yang jitu dalam meningkatkan semangat untuk kita bersama-sama mendokong aspirasi “Kecemerlangan 100%” dan dapat mengembalikan “title” tersebut pada tahun 2013 ini.
Kita perlu melaksanakan pelbagai program dan menyusun aktiviti secara sistematik dan berdokumentasi, bermatlamat serta berusaha menggembleng tenaga semua pihak bagi merealisasikan matlamat, seterusnya meraih kejayaan yang unggul. Di sebalik program yang dirancang, marilah kita bersama-sama berpadu usaha, membina imej dan kekuatan dari pelbagai sudut, menganjak paradigma, memacu peradaban, iklim serta persekitaran yang kondusif untuk memperkembang potensi warga SKRP ke arah pembinaan insan yang berilmu, beramal, dan berbakti.
Sikap kerjasama, ikhlas, jujur, dan komited perlu dijadikan matlamat dalam diri masing-masing. Sikap sambil lewa dan ambil mudah, malas berusaha serta tidak peka dengan kehendak dunia masa kini merupakan suntikan yang akan memusnahkan masa hadapan generasi pewaris kita. Semua guru perlu sentiasa memiliki sikap ingin tahu, suka melakukan perubahan dan peningkatan prestasi diri ke arah yang lebih meyakinkan. Perubahan seperti ini sememangnya sukar diperoleh tanpa kesedaran dalam diri masing-masing.
Pengorbanan dan tugas guru amat murni. Sekiranya semua guru sedar akan tugas dan tanggungjawab masing-masing, maka akan terlerailah segala masalah yang selama ini menjadi penghalang kejayaan serta kecemerlangan sekolah ini.
Sekian, terima kasih.
TN HJ SALIM B SALLEH
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang

© 2011 Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, 08500 Kota Kuala Muda, Kedah Darul Aman, Malaysia.